Wednesday, July 23, 2014

MALAM TUJUH LIKUR

Assalammualaikum wbt...

Hari ini merupakan hari ke-26 Ramadhan, bermakna pada malam ini seluruh kampung saya pasti akan diterangi dengan limpahan cahaya...Saya yakin bukan sahaja kampung saya, malahan kampung-kampung lain dan bandar di seluruh Malaysia akan terang-benderang mulai malam ini...

Namun cahaya yang digunakan di kampung dan di bandar mungkin sedikit berbeza...Hal ini kerana di kampung kebiasaannya cahaya pelita yang akan menerangi manakala di bandar, cahaya lampu elektrik berbentuk pelita kebiasaannya digunakan...Bukanlah bermaksud di bandar tiada pelita langsung digunakan kerana ada yang tetap menggunakan pelita walaupun di bandar tetapi atas faktor keselamatan, penggunaan lampu berbentuk pelita adalah lebih praktikal di samping pencemaran yang mungkin berlaku akibat pegeluaran asap daripada pelita...

Kebiasaannya dahulu di kampung saya akan diadakan pertandingan sempena malam tujuh likur...Pada ketika inilah kita dapat melihat kreativiti warga kampung dalam membuat pelbagai objek menggunakan pelita...Ada yang membuat pintu gerbang, ada yang membuat kapal terbang dan pelbagai lagi objek yang amat menarik...Ketika ini suasana dirasakan begitu meriah...

Diharapkan kemeriahan tersebut akan berterusan pada tahun ini...Biarlah seluruh tempat disinari cahaya tidak kiralah sama ada cahaya pelita mahupun cahaya lampu elektrik, yang penting kemeriahan malam-malam terakhir Ramadhan dapat dirasakan...

Namun janganlah pula kita lupa untuk merebut peluang beribadah di malam-malam terakhir ini dengan sebaiknya kerana kita tidak tahu apakah masih ada Ramadhan untuk kita di tahun depan...Perbanyakkan amalan sunat agar kita tidak menyesal ketika "di sana" nanti...

Wassalam...

Monday, July 21, 2014

KITA AKAN DIJEMPUT...

Assalammualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh...

Setiap yang hidup pasti akan mati...Itu sememangnya hakikat sebuah kehidupan makhluk yang bernama manusia...Bukan sahaja manusia, tetapi setiap makhluk yang bernyawa pasti akan menemui ajal...Yang pasti hanya Allah S.W.T. sahaja yang kekal selama-lamanya...

Bagaimana, bila, dan di mana kita akan "dijemput pulang", tiada siapa yang mengetahuinya kerana semuanya rahsia Allah...Namun sebagai hamba Yang Esa, seharusnya kita sentiasa bersedia setiap masa...

Allah masih memberikan peluang kepada kita untuk menjadi hamba-Nya yang soleh dan taat kepada setiap suruhan-Nya selagi kita masih bernafas...Andai kata kita pernah melakukan kesilapan, jangan sesekali menangguhkan taubat kerana kita tidak akan tahu bila Malaikat Izrail akan menjemput kita...

Dan andai kata kita telah bertaubat, janganlah sesekali kita mengulangi silap dan salah yang sama, kerana orang yang beriman tidak akan sesekali melakukan kesilapan yang sama berulang kali...

Di kesempatan yang masih ada ini, terutamanya di hari-hari terakhir Ramadhan ini, gunakanlah dengan sebaiknya agar kita tidak menyesal di kemudian hari...

Wassalam...

Thursday, July 17, 2014

AL-FATIHAH MH17...

Assalammualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh...

Kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 masih terasa di kalangan hati semua rakyat Malaysia, terutama kepada ahli keluarga mangsa yang masih tertanya-tanya apa sebenarnya yang terjadi...

Dan ketika ini sekali lagi kita dikejutkan dengan terhempasnya pesawat MH17 yang berlepas dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur, Malaysia di Ukraine...Pesawat tersebut dipercayai telah ditembak sebelum terhempas...Namun masih belum dipastikan pihak mana yang bertanggungjawab melakukannya...

Ucapan takziah diucapkan kepada semua ahli keluarga mangsa dan diharapkan mereka tabah dalam mengahadapi dugaan ini...Daripada Allah kita datang, dan kepada-Nya jua lah kita kembali...

Kami seluruh warga Malaysia amat bersedih dengan apa yang telah berlaku...Semoga mereka yang terkorban ditempatkan bersama orang-orang yang beriman di sisi Illahi...Apa yang diharapkan tragedi seperti ini tidak akan berlaku lagi pada masa yang akan datang...Al-fatihah...

Wassalam...

10 MALAM TERAKHIR...

Assalammualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh...

Syukur ke hadrat Illahi kerana masih diberikan peluang untuk bernafas dan seterusnya bertemu semula dengam bulan Ramadhan, bulan yang penuh keberkatan di mana pintu syurga dibuka seluas-luasnya dan pintu neraka ditutup seerat-eratnya...

Namun begitu, tanpa disedari, masa begitu pantas berlalu...Kini Ramadhan sudah semakin menghampiri penghujungnya...Adakah kita telah menggunakan waktu di bulan mulia ini dengan sebaiknya, atau kita biarkan sahaja Ramadhan berlalu tanpa makna?

Jika kita masih belum memanfaatkan peluang yang ada, gunakanlah 10 malam terakhir ini dengan sebaiknya...Carilah malam yang lebih baik daripada seribu bulan, iaitu malam yang tiada tandingannya, malam lailatulqadar...Perbanyakkan amalan sunat di malam-malam terakhir ini kerana kita tidak tahu apakah masih ada Ramadhan untuk kita lagi tahun hadapan...

Andai kata ini Ramadhan terakhir buat kita, diharapkan ia dapat membela nasib kita apabila kita dibangkitkan di hadapan Yang Maha Kuasa di akhirat nanti...Insya Allah...

Wassalam...