Tuesday, November 12, 2013

Bila Diri Disayangi...

Assalammua'laikum warahmatullahi taala wabarakatuh...

Lama dah tak update blog "Travelog Seorang Hamba" ni...Rindu pula rasa nak menulis di sini...Baiklah, kali ini admin nak bercerita mengenai lirik lagu yang amat admin minati pula...Seterusnya admin mengambil sedikit petikan lirik lagu tersebut untuk diulas dalam edisi kali ini...

"Bila ku sedari diri disayangi Langkah kaki ini semakin berani Bila terkeliru kuucap nama-Mu Terasa diriku kembali dipandu..."

Rasanya ramai yang tahu lirik lagu di atas, dan bagi yang tak tahu, lirik tersebut dipetik dari salah satu lagu popular kumpulan Ukay's yang berjudul "Bila Diri Disayangi"...Lagu ini merupakan salah satu lagu kegemaran admin kerana liriknya yang mempunyai maksud yang mendalam dan antara lagu keTuhanan yang popular di era 90-an...

Lagu ini sebenarnya mengisahkan mengenai sifat manusia yang hidup mereka amat memerlukan Sang Pencipta...Setiap apa yang dilakukan, setiap apa yang ingin dilaksanakan, jangan sesekali membelakangkan Yang Maha Esa...Doa dan tawakal merupakan kunci untuk mendapat keredhaan-Nya...

Andainya hidup terasa sukar, hidup terasa kosong dan tiada yang mengambil peduli, ingatlah bahawa Allah tidak pernah melupakan hamba-Nya walaupun kita selalu alpa akan tanggungjawab kita sebagai hamba kepada-Nya...

Sentiasa ingat, setiap ujian Allah merupakan bukti betapa Allah menyayangi hamba-Nya...Tidak ada ujian atau dugaan yang Allah berikan melainkan untuk melihat sehebat mana kehebatan iman kita kepada-Nya...Jangan sesekali mengeluh dan merasakan diri kita jauh dari-Nya andai ujian berat yang menimpa...Cari jalan yang terbaik,pilih yang terbaik,dan kemudian bertawakal kepada-Nya...

Insya Allah, akan ada jalan keluar untuk setiap permasalahan...Akan ada penawar bagi setiap penyakit...Yang penting kita berusaha dan jangan pernah mengalah...Itu adalah kunci kejayaan dalam kehidupan di dunia, juga kehidupan di akhirat kelak...

Wassalammualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh...

Monday, October 7, 2013

Gunakan Laman Sosial Dengan Bijak...

Assalammua'alikum warahmatullahi taala wabarakatuh...

Laman sosial seperti facebook, blog, twitter, instagram, wechat, youtube, dan sebagainya bukanlah sesuatu yang asing dewasa ini...Tidak kira usia, agama, bangsa, atau kedudukan geografi, pasti mempunyai salah satu daripada perkara yang admin sebutkan di atas atau mungkin semuanya, atau mungkin juga pernah terlibat dengan laman-laman sosial ini sekalipun tidak memilikinya...

Hakikatnya, dengan adanya laman-laman sosial seperti ini, banyak faedah yang kita perolehi jika kita tahu menggunakannya dengan sebaik yang mungkin...Antara faedahnya ialah untuk berkongsi maklumat dengan pantas, mengeratkan silaturahim dengan yang jauh dan banyak lagi...

Namun kali ini admin ingin mengutarakan salah satu kesilapan yang sering dilakukan oleh kita sebagai pengguna apabila menggunakan laman-laman sosial ini...Banyak sebenarnya kesilapan dan keburukan laman sosial yang lain tetapi fokus admin kali ini hanyalah untuk perkara ini...

Kesilapan yang admin maksudkan ialah apabila kita menggunakan laman sosial untuk meluahkan perasaan yang terbuku di hati sehingga adakalanya luahan tersebut mengaibkan diri kita dan orang lain...Seharusnya jika ada sebarang masalah atau memerlukan tempat untuk meluahkan perasaan, carilah alternatif lain, contohnya meluahkan pada teman yang boleh dipercayai atau mungkin melalui diari daripada meluahkan semuanya di dalam laman sosial yang mana seluruh dunia boleh melihat apa yang kita luahkan...

Malah apa yang lebih menyedihkan, ada yang meluahkan perasaan berkenaan rahsia rumah tangga dan hal-hal "dalam kain" melaui media sosial...Tidakkah mereka terfikir kesan perbuatan mereka itu bukan sahaja boleh mengaibkan diri sendiri, tetapi juga boleh melibatkan seluruh ahli keluarga mereka...Bayangkanlah jika orang ramai mengetahui aib kita yang sepatutnya kita sembunyikan, tentu memalukan dan boleh memberi kesan jangka panjang kepada mereka yang terlibat...

Jika boleh, rahsia atau masalah rumah tangga yang melibatkan suami isteri atau pasangan janganlah didedahkan di laman-laman sosial...Biarlah masalah itu menjadi rahsia peribadi yang tidak perlu untuk dijaja kepada semua...Berhati-hatilah ketika memuat naik status agar kita tidak menyesal di kemudian hari...

Oleh itu, gunakanlah laman sosial dengan bijak...Jangan bila sudah terbuka aib, baru sibuk hendak mengelabah...Bak kata pepatah, "Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk akibatnya"...Jika terlajak berjalan boleh buat u-turn di hadapan...

Wassalammua'laikum warahmatullahi taala wabarakatuh...

Jujurlah Dalam Urusan Jual Beli...

Assalammua'laikum warahmatullahi taala wabarakatuh...

Hampir setiap hari kita terlibat di dalam urusan jual beli, sama ada yang melibatkan barangan dapur, barangan harian, peralatan rumah dan sebagainya, dari sekecil-kecil peralatan sehingga ke sebesar-besar barangan...

Urusan jual beli bukanlah sesuatu yang remeh, terutama bagi seorang peniaga...Kejujuran dalam memperdagangkan barangan amat diperlukan untuk menjadi seorang peniaga yang baik dan dipercayai...

Ini kerana jika sudah sekali seseorang peniaga menipu, maka akan sukarlah untuk orang mempercayai lagi akan mereka...Penipuan walaupun kecil pasti akan meninggalkan kesan dan akan diingati oleh mereka yang terlibat sampai bila-bila...Terdapat sebuah hadis Rasullullah SAW yang mengisahkan mengenai urusan jual beli yang telah diriwayatkan oleh Bukhari & Muslim yang berbunyi:

"Daripada Abu Khalid Hakim bin Hizam RA (yang telah menganut Islam pada tahun pembukaan Makkah. Bapanya daripada golongan bangsawan Quraisy pada zaman jahiliah dan pada zaman Islam) katanya, bersabda Rasulullah SAW, “Penjual dan pembeli berhak memilih sama ada hendak meneruskan pembelian atau jualan atau tidak selagi mereka belum berpisah. Jika mereka bersikap benar dan jujur (dengan memberitahu jika ada keaiban atau kecacatan pada barang yang dijual dan harga) nescaya diberkati Allah tentang jual beli mereka. Tetapi jika didapati penipuan dan dusta maka hilanglah berkat jual beli mereka.”

Setiap kekurangan atau kecacatan sesuatu produk itu haruslah diberitahu kepada pembeli tidak kira ianya kecil ataupun besar...Jujurlah dalam urusan penjualan walaupun mungkin ianya akan menyebabkan kita terpaksa menjual barangan tersebut dengan harga yang murah daripada harga asalnya...Ingatlah, setiap rezeki yang berlandaskan kejujuran akan diberkati oleh Allah daripada mendapat keuntungan yang berlipat kali ganda tetapi tidak berkat akibat menipu...

Begitu juga dengan hidup ini...Jangan sesekali menipu walaupun kebenaran ada kala amat menyakitkan dan pedih untuk diterima...Itu jauh lebih baik daripada pembohongan yang mengasyikkan yang akhirnya pasti lebih mengecewakan...

Wassalamua'laikum warahmatullahi taala wabarakatuh...

Friday, October 4, 2013

Ngap Sayot Selamanya...

Assalammualaikum dan salam perpaduan...

Alhamdulillah,syukur pada-Mu Ya Allah Yang Maha Pengasih atas limpah kurnia yang tidak terhingga sehinggakan diri ini masih lagi bernafas dan dapat menikmati keindahan alam yang begitu mengasyikkan ini...

Hari ini admin hanya ingin berbicara mengenai bolasepak...Pasukan yang menjadi pilihan admin tentulah pasukan kelahiran dan tempat admin membesar iaitu Sarawak...Esok antara perlawanan penting yang bakal menyaksikan sama ada Sarawak akan meneruskan kemaraan ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia ataupun tidak selepas perlawanan suku akhir pertama menentang Sime Derby menyaksikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan di Selayang...

Apa yang pasti,stadium keramat pasukan Sarawak iaitu Stadium Negeri di Petra Jaya,Kuching pastinya akan gamat dengan sorakan puluhan ribu penyokong setia Ngap Sayot pada malam esok setelah tiket habis dijual semalam...Semangat "Encang Sarawak Encang" pastinya akan meliputi Stadium Negeri dalam perlawanan itu nanti...

Apa yang diharapkan,sokongan padu seperti yang diberikan oleh penyokong Sarawak akan diteruskan sahingga bila-bila tidak kira ketika menang ataupun tewas...

Namun apa yang sedikit mencacatkan pemandangan di kem bolasepak Sarawak ketika ini ialah berkenaan tuduhan rasuah terhadap pasukan Sarawak dan siasatan yang sedang dijalankan oleh FAM setelah mereka menang besar ke atas Perak dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan yang lalu...Apa yang diharapkan tuduhan tersebut tidak mengganggu moral pemain sebaliknya menjadikan mereka lebih bersemangat untuk menjulang Piala Malaysia buat kali pertama...

Apa yang penting,kepada semua peminat Sarawak yang telah membeli tiket,riuhkan Stadium Negeri dengan sorakan anda dan jadikan setiap pemain lawan menggeletar lutut mereka apabila mendengar sorakan anda...

"DOAKAN SARAWAK MENANG"

Wassalammua'laikum warahmatullahi taala wabarakatuh...

Friday, August 30, 2013

Wang Bukanlah Segalanya...

Assalammua'laikum warahmatullahi taala wabarakatuh...

Alhamdulillah,syukur atas rahmat-MU Ya Allah kerana masih lagi bernafas di atas bumi bertuah ini...Dan syukur kerana masih berpeluang menghabiskan Ramadhan dan seterusnya menyambut Syawal dalam suasana yang harmoni dan aman damai...

Kali ini saya ingin mengutarakan pendapat berkenaan mereka yang terlalu mementingkan wang ringgit hingga mengenepikan benda-benda yang mereka anggap kecil tetapi hakikatnya amat bernilai dalam hidup mereka...

Seorang sahabat saya,seorang wanita yang amat mementingkan wang,malahan mengakui bahawa dirinya sememangnya materialistik...Beliau mengutamakan wang sehinggakan di dalam pencarian pasangan hidup,beliau hanya inginkan seorang lelaki yang mempunyai kerjaya yang lebih baik daripada dirinya...Motto hidup beliau ialah "Wang bukanlah segalanya tetapi segalanya memerlukan wang"...

Saya tidak menyalahkan beliau kerana dalam kehidupan kita serba moden kini,setiap perkara yang kita lakukan memerlukan wang,hatta untuk membuang air kecil sekalipun kita memerlukan sekurang-kurangnya dua puluh sen jika berada di tempat awam...Namun yang menjadi masalahnya ialah apabila kita terlalu mementingkan wang sehingga kita sanggup mengorbankan kebahagiaan diri hanya kerana pasangan kita tidak setaraf dengan kita...

Itulah yang berlaku kepada sahabat saya ini...Beliau sanggup untuk mengenepikan cinta dan hidup bersendirian daripada menerima cinta lelaki yang tarafnya lebih rendah dari beliau...Beliau seorang yang cantik dan terdapat beberapa orang lelaki yang ingin menjadikan beliau teman istimewa tetapi kerana kedudukan yang tidak setaraf,agak sukar untuk beliau menerima kehadiran lelaki di dalam kehidupan beliau...

Bagi saya,apalah ertinya wang ringgit yang banyak atau melimpah ruah jika kita tidak mendapat kebahagiaan...???Mungkin dunia kini, apa jua yang kita lakukan memerlukan wang tetapi hakikatnya wang tidak mampu membeli cinta...Wang tidak mampu membeli kebahagiaan...Wang tidak mampu membeli kejujuran...Wang tidak mampu membeli kesetiaan...Dan banyak lagi perkara yang sebenarnya tidak mampu dibeli dengan wang...

Malahan sahabat saya ini selalu menyatakan mungkin jodoh belum ada kepada soalan kenapa masih solo walaupun memiliki wajah yang cantik dan kerjaya yang bagus...Mungkin benar jawapan tersebut namun jodoh juga perlu dicari,bukan hanya menunggu dan menanti untuk ianya sampai...Kenapa saya berkata begitu...???Kerana ada beberapa orang lelaki yang serius ingin menjalinkan hubungan dengan beliau tetapi ditolak kerana alasan yang sama...Semuanya kerana taraf dan wang...

Setiap perkahwinan,Allah telah menjanjikan rezeki masing-masing...Dan itulah janji Allah...Rezeki bukan hanya dalam bentuk wang ringgit tetapi mungkin kebahagiaan,keharmonian,anak-anak,dan sebagainya...Maka tidak perlu bimbang andainya pasangan kita taraf ekonominya lebih rendah dari kita kerana kita tak akan pernah tahu apa yang akan berlaku di masa depan...Apa yang penting kita sentiasa berusaha untuk memberikan yang terbaik di dalam kehidupan kita...

Saya ingin mengambil sedikit kata-kata daripada seorang sahabat yang beliau letakkan di status muka buku beliau baru-baru ini...Status tersebut berbunyi begini:

"Percayalah...wang bukan segalanya...jika kamu menjadi hamba kepada wang ringgit yang kamu damba,ruginya kamu...sering saja terlepas dari saat-saat penting dan indah bersama insan yang kamu cinta..."

Sememangnya itulah kebenaran dalam kehidupan ini...Apabila kita terlampau taksub mengejar wang ringgit dan mengenepikan perkara lain,akhirnya kita pasti akan hilang saat-saat yang sepatutnya kita hargai bersama insan yang tersayang...

Malahan sejujurnya,saya amat menghormati insan yang mempunyai pemikiran seperti ini...Dewi (bukan nama sebenar),iaitu pemilik status yang saya pinjam ini merupakan seorang insan yang amat penyayang dan sentiasa menghargai insan tercinta...Si suami sentiasa menjadi keutamaan bagi beliau dan saat bersama suami menjadi sesuatu yang terlalu berharga yang tidak mungkin mampu dibeli dengan nilai semua wang ringgit mahupun wang dolar atau mungkin wang rupiah di selurub dunia ini...Sebenarnya ada kisah istimewa yang ingin saya paparkan mengenai sahabat yang amat istimewa ini tetapi bukan dalam paparan kali ini...Insya Allah di lain masa saya akan paparkan jika mendapat keizinan dari tuan empunya badan...

Bagi saya,setiap saat yang berlalu amatlah berharga...Jangan disia-siakan setiap detik waktu...Sememangnya kita memerlukan wang di dalam hidup tetapi jangan sesekali menjadi hamba wang hingga kita tidak menghargai insan yang menyayangi kita dan yang kita sayangi...Detik yang berlalu tak mungkin akan kembali...Hargailah setiap saat bersama orang tercinta kerana kita takkan pernah tahu bila mereka atau kita akan dijemput oleh Malaikat Izrail untuk "pulang"...

Wassalammua'laikum warahmatullahi taala wabarakatuh...


Wednesday, July 31, 2013

Lagi Video Menghina Islam...

Assalammua'laikum...

Selepas satu,satu video penghinaan terhadap Islam tersebar di laman sosial...Yang terbaru,video penghinaan yang memaparkan seorang pemuda menyambut Hari Raya bersama dengan tiga ekor anjing yang mendapat perhatian beberapa akhbar utama hari ini...

Sampai bila agaknya perkara seperti ini akan terus berlaku?Saya amat berharap agar pihak berkuasa dapat mengambil tindakan yang benar-benar tegas agar kes yang sama tidak akan berulang lagi di masa yang akan datang...

Di samping itu,kita sebagai umat Islam juga harus bersatu agar Islam tidak terus dipandang rendah oleh penganut agama lain...Bukanlah maksud saya bersatu memerangi penganut agama lain tetapi bersatu dengan menunjukkan perpaduan umat Islam,dan tunjukkan bahawa Islam merupakan agama yang benar...Tunjukkan akhlak seorang Islam yang sebenar,agar kita dihormati bukan sahaja oleh sahabat tetapi juga musuh...

Sebaliknya umat Islam kini lebih suka bergaduh sesama sendiri,dan akhirnya diambil kesempatan oleh orang lain atas kelemahan kita itu...

Kembalilah kepada Allah...Bersatulah sebagai umat Islam agar kita dipandang tinggi dan tidak terus-terusan diperlekehkan seperti yang berlaku kini...Dan apa yang diharapkan,selepas ini tiada lagi penghinaan seperti ini berlaku...

Wassalammua'laikum warahmatullahi taala wabarakatuh...

Tuesday, July 30, 2013

Gegaran Di Samarahan...

Assalammualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh...

Semalam, 29/07/2013 bersamaan 20 Ramadhan 1434 Hijrah berlaku gegaran dan bunyi kuat yang menggemparkan penduduk Samarahan...Bunyi yang agak kuat berserta gegaran tersebut menyebabkan penduduk Samarahan terpinga-pinga dan tertanya-tanya apakah punca kejadian tersebut...

Saya sendiri ketika itu turut mendengar dan merasai pengalaman yang agak membingungkan itu kerana hingga hari ini,belum ada punca sebenar yang diketahui mengapa peristiwa tersebut berlaku...Ada yang menyatakan ianya berpunca daripada pengeboman batu yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu untuk tujuan pembangunan di sekitar Samarahan...Ada jua yang menyatakan ianya berlaku akibat gempa bumi di Sumatera...Namun sehingga kini kebenarannya masih tidak dapat dipastikan...

Apa yang pasti,setiap yang berlaku ada sebabnya...Mungkin jua ianya merupakan alamat atau petanda daripada Allah untuk kita hamba-Nya...Wallahualam...Hanya Allah Yang Maha Mengetahui...

Harus diingat,Bumi kini sudah semakin tua...Semakin hari kita semakin hampir kepada hari pengakhiran...Malahan sudah banyak tanda kiamat yang boleh kita saksikan kini...Kembalilah kepada jalan yang diredhai Allah,agar kita tidak menyesal di kemudian hari...Allahu Akbar...

Wassalammualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh...

Wednesday, July 24, 2013

Ramadhan Bulan Keampunan...

Assalammua'laikum warahmatullahi taala wabarakatuh...

Alhamdulillah,sudah 15 hari kita menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini...Bermakna sudah separuh daripada bulan mulia ini telah pergi meninggalkan kita...

Bagaimana sahabat-sahabat mengisi masa yang ada di bulan keampunan ini...?Apakah dipenuhi dengan amalan-amalan sunat dan melakukan kebaikan atau kehadiran bulan Ramadhan kali ini di sia-siakan sahaja seolah-olah tiada makna...?

Gunakanlah kehadiran Ramadhan kali ini dengan memenuhkan masa-masa terluang untuk melakukan amalan sunat dengan sebanyak yang mungkin...Bukan sahaja menghidupkan malam hari dengan solat tarawih tetapi juga melaksanakan amalan-amalan lain seperti membaca al-quran,melakukan solat tahajjud dan solat-solat sunat yang lain...Pintalah keampunan kepada Allah SWT di atas segala dosa yang telah kita lakukan,sama ada dosa yang disedari ataupun sebaliknya kerana di bulan inilah pintu keampunan terbuka luas bagi hamba-Nya yang benar-benar ikhlas memohon keampunan biar sebanyak manapun dosa yang telah dilakukan...Malahan Rasullullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:

Daripada ‘Abdur Rahman bin ‘Awf, sabda Nabi SAW: “Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dan berqiam Ramadhan dengan penuh keimanan dan ihtisab, ia akan keluar daripada dosa-dosanya sepertimana hari ibunya melahirkannya.”

(Diriwayatkan oleh Al-Nasa’i, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Majah dan al-Bayhaqi)

Begitulah hebatnya bulan Ramadhan...Di bulan ini pintu syurga dibuka seluas-luasnya dan pintu syurga ditutup erat...Setiap amalan dilipat-gandakan,tidak kira sama ada amalan fardhu mahupun sunat...Apa yang penting sentiasa ikhlas dalam melakukan apa sahaja hanya kerana Allah Taala,insya Allah pasti ada hikmah dan keberkatannya...

Apa yang diharapkan,andai sebelum ini kita mensia-siakan Ramadhan ini,bersamalah kita memanfaatkan peluang dan ruang yang masih ada di separuh lagi Ramadhan yang tinggal ini dengan melakukan segala amalan yang kita mampu lakukan...Kerana kita tidak pasti apakah masih ada Ramadhan lagi untuk kita di tahun hadapan...Jika ini Ramadhan terakhir kita,biarlah ia membela nasib kita di akhirat kelak...Insya Allah...

Wassalammua'laikum warahmatullahi taala wabarakatuh...


Sunday, July 21, 2013

Jangan Diikutkan Nafsu Amarah...

Assalammua'laikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh...

Kemarahan hakikatnya bukanlah sesuatu yang asing di dalam kehidupan kita sebagai hamba Allah...Namun yang membezakan antara kita ialah bagaimana kita mengawal kemarahan tersebut,sama ada ianya akan mendatangkan mudarat kepada kita atau sebaliknya...

Kemarahan boleh dibahagikan kepada dua,iaitu kemarahan yang terpuji dan kemarahan yang tercela...Kemarahan yang terpuji ialah kemarahan dalam mempertahankan diri,agama,membantu mereka yang dizalimi,kehormatan dan hak...Manakala kemarahan yang selebihnya dan selain daripada itu merupakan kemarahan yang tercela...

Seeloknya,jika sedang marah,iaitu jika marah yang tercela,ambillah wudhu' kerana marah itu merupakan salah satu sifat syaitan yang amat dikeji di dalam Islam,dan dengan berwudhu',insya Allah hati akan lebih tenang dan kemarahan dapat dikawal...Malahan Rasullullah SAW ketika ditanya oleh seorang sahabat pernah berpesan mengenai marah,iaitu:

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w. “Berwasiatlah kepadaku, “Lalu Nabi s.a.w menjawab: “Janganlah engkau menjadi seorang yang pemarah. ”Orang itu mengulangi permintaan beberapa kali, Nabi s.a.w menjawab: “Janganlah engkau menjadi seorang yang pemarah.”
(Riwayat al-Bukhari)

Selain itu,jika kita marah dalam keadaan berdiri,maka duduk...Jika sedang duduk,berbaringlah...Jangan sesekali membiarkan kemarahan menguasai diri sehingga boleh menyebabkan kita menyesali akibat daripada perbuatan yang kita lakukan ketika kita sedang marah...

Hakikatnya ketika kita sedang marah,nafsu akan menguasai akal dan ada kalanya akibat kemarahan yang keterlaluan,kita akan melakukan perkara yang melampau seperti mencederakan orang atau mungkin boleh membunuh...Ketika kita membiarkan kewarasan akal dikuasai oleh nafsu amarah,tiada satupun perbuatan yang kita lakukan ketika itu bakal mendatangkan manfaat kepada diri kita atau orang lain,sebaliknya pasti membuatkan kita menyesal suatu hari nanti...

Dan seiring dengan kemajuan teknologi kini,banyak pihak yang menyalahgunakan kemudahan yang ada...Laman sosial seperti facebook,twitter dan blog banyak yang disalahguna untuk melampiaskan kemarahan individu tertentu tanpa memikirkan kesan buruk meluahkan kemarahan di laman sosial di kemudian hari...

Kerana itu,jika kita marah,kawallah ia dan luahkan dengan cara yang betul...Antaranya ialah bersolat dan memohon ketenangan daripada Yang Maha Kuasa...Jangan terlalu diikutkan kata hati...Bersabarlah dalam apa jua situasi,insya Allah kita akan tenang bukan sahaja di dunia,malahan di akhirat kelak...

Wassalamua'laikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh...

Saturday, July 20, 2013

Solat Dalam Keadaan Mengantuk...

Diriwayatkan dari Anas r.a: “Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: “Apabila seseorang mengantuk ketika sedang mengerjakan solat hendaklah ia tidur terlebih dahulu hingga ia mengerti apa yang ia katakan (atau ia bacakan).”

(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Rasa mengantuk di dalam solat mungkin biasa berlaku terhadap kita,terutamanya selepas seharian bekerja...Ada kalanya kerana terlampau mengantuk,tumpuan terhadap solat akan hilang dan boleh menjejaskan konsentrasi sewaktu solat...

Kerana itulah seandainya kita mengalami rasa mengantuk yang teramat sangat ketika hendak solat,seeloknya kita baring sebentar atau mungkin jika perlu kita tidur sebentar untuk menghilangkan rasa mengantuk tersebut...Selepas itu barulah kita bangun dan mengambil wudhu' dan melaksanakan solat...

Solat dalam keadaan mengantuk hakikatnya bukan sahaja boleh menyebabkan kita hilang fokus,malahan berkemungkinan solat kita akan batal...Hal ini kerana jika kita solat dalam keadaan yang mengantuk,mungkin kita akan kehilangan fokus dan seterusnya mengganggu bacaan dalam solat dan mungkin kita boleh lupa akan bilangan rakaat yang akan membatalkan solat kita...

Sekiranya ketika itu waktu solat sudah hampir ke penghujungnya dan tiada kesempatan untuk berehat,ambillah wudhu' semula kerana dengan mengenakan air ke muka dan seluruh anggota wudhu', insya Allah dapat menyegarkan kita dan seterusnya membolehkan kita bersolat dalam keadaan lebih sempurna...

Insya Allah kita berjumpa lagi di lembaran lain nanti...

Wassalamua'laikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh...

Syukur Pada-MU Ya Allah...

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Illahi kerana dengan limpah kurnianya kita masih diberikan peluang untuk terus bernafas dan menikmati keindahan dunia yang serba indah ini...Malahan sedar tak sedar sudah 11 hari kita berada di bulan Ramadhan yang penuh berkat ini...

Apa yang penting, syukuri kehadiran bulan mulia ini dan penuhinya dengan mengerjakan sebanyak yang mungkin amal...Ini kerana kita tidak akan pernah tahu bila kita akan "dijemput untuk pulang"...Jadi sebaiknya manfaatkan peluang yang ada kerana kita belum tentu akan bertemu semula dengan Ramadhan pada tahun hadapan...

Selain daripada itu, gunakanlah peluang yang ada untuk mengeratkan silaturahim sesama Islam...Yang bertelagah, bermaafanlah bersempena dengan bulan yang mulia ini...Buang yang keruh dan ambil yang jernih...

Insya Allah, jika dipanjangkan umur kita akan berjumpa lagi di lain masa...

Wassalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh...