Wednesday, July 23, 2014

MALAM TUJUH LIKUR

Assalammualaikum wbt...

Hari ini merupakan hari ke-26 Ramadhan, bermakna pada malam ini seluruh kampung saya pasti akan diterangi dengan limpahan cahaya...Saya yakin bukan sahaja kampung saya, malahan kampung-kampung lain dan bandar di seluruh Malaysia akan terang-benderang mulai malam ini...

Namun cahaya yang digunakan di kampung dan di bandar mungkin sedikit berbeza...Hal ini kerana di kampung kebiasaannya cahaya pelita yang akan menerangi manakala di bandar, cahaya lampu elektrik berbentuk pelita kebiasaannya digunakan...Bukanlah bermaksud di bandar tiada pelita langsung digunakan kerana ada yang tetap menggunakan pelita walaupun di bandar tetapi atas faktor keselamatan, penggunaan lampu berbentuk pelita adalah lebih praktikal di samping pencemaran yang mungkin berlaku akibat pegeluaran asap daripada pelita...

Kebiasaannya dahulu di kampung saya akan diadakan pertandingan sempena malam tujuh likur...Pada ketika inilah kita dapat melihat kreativiti warga kampung dalam membuat pelbagai objek menggunakan pelita...Ada yang membuat pintu gerbang, ada yang membuat kapal terbang dan pelbagai lagi objek yang amat menarik...Ketika ini suasana dirasakan begitu meriah...

Diharapkan kemeriahan tersebut akan berterusan pada tahun ini...Biarlah seluruh tempat disinari cahaya tidak kiralah sama ada cahaya pelita mahupun cahaya lampu elektrik, yang penting kemeriahan malam-malam terakhir Ramadhan dapat dirasakan...

Namun janganlah pula kita lupa untuk merebut peluang beribadah di malam-malam terakhir ini dengan sebaiknya kerana kita tidak tahu apakah masih ada Ramadhan untuk kita di tahun depan...Perbanyakkan amalan sunat agar kita tidak menyesal ketika "di sana" nanti...

Wassalam...

Monday, July 21, 2014

KITA AKAN DIJEMPUT...

Assalammualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh...

Setiap yang hidup pasti akan mati...Itu sememangnya hakikat sebuah kehidupan makhluk yang bernama manusia...Bukan sahaja manusia, tetapi setiap makhluk yang bernyawa pasti akan menemui ajal...Yang pasti hanya Allah S.W.T. sahaja yang kekal selama-lamanya...

Bagaimana, bila, dan di mana kita akan "dijemput pulang", tiada siapa yang mengetahuinya kerana semuanya rahsia Allah...Namun sebagai hamba Yang Esa, seharusnya kita sentiasa bersedia setiap masa...

Allah masih memberikan peluang kepada kita untuk menjadi hamba-Nya yang soleh dan taat kepada setiap suruhan-Nya selagi kita masih bernafas...Andai kata kita pernah melakukan kesilapan, jangan sesekali menangguhkan taubat kerana kita tidak akan tahu bila Malaikat Izrail akan menjemput kita...

Dan andai kata kita telah bertaubat, janganlah sesekali kita mengulangi silap dan salah yang sama, kerana orang yang beriman tidak akan sesekali melakukan kesilapan yang sama berulang kali...

Di kesempatan yang masih ada ini, terutamanya di hari-hari terakhir Ramadhan ini, gunakanlah dengan sebaiknya agar kita tidak menyesal di kemudian hari...

Wassalam...

Thursday, July 17, 2014

AL-FATIHAH MH17...

Assalammualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh...

Kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 masih terasa di kalangan hati semua rakyat Malaysia, terutama kepada ahli keluarga mangsa yang masih tertanya-tanya apa sebenarnya yang terjadi...

Dan ketika ini sekali lagi kita dikejutkan dengan terhempasnya pesawat MH17 yang berlepas dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur, Malaysia di Ukraine...Pesawat tersebut dipercayai telah ditembak sebelum terhempas...Namun masih belum dipastikan pihak mana yang bertanggungjawab melakukannya...

Ucapan takziah diucapkan kepada semua ahli keluarga mangsa dan diharapkan mereka tabah dalam mengahadapi dugaan ini...Daripada Allah kita datang, dan kepada-Nya jua lah kita kembali...

Kami seluruh warga Malaysia amat bersedih dengan apa yang telah berlaku...Semoga mereka yang terkorban ditempatkan bersama orang-orang yang beriman di sisi Illahi...Apa yang diharapkan tragedi seperti ini tidak akan berlaku lagi pada masa yang akan datang...Al-fatihah...

Wassalam...

10 MALAM TERAKHIR...

Assalammualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh...

Syukur ke hadrat Illahi kerana masih diberikan peluang untuk bernafas dan seterusnya bertemu semula dengam bulan Ramadhan, bulan yang penuh keberkatan di mana pintu syurga dibuka seluas-luasnya dan pintu neraka ditutup seerat-eratnya...

Namun begitu, tanpa disedari, masa begitu pantas berlalu...Kini Ramadhan sudah semakin menghampiri penghujungnya...Adakah kita telah menggunakan waktu di bulan mulia ini dengan sebaiknya, atau kita biarkan sahaja Ramadhan berlalu tanpa makna?

Jika kita masih belum memanfaatkan peluang yang ada, gunakanlah 10 malam terakhir ini dengan sebaiknya...Carilah malam yang lebih baik daripada seribu bulan, iaitu malam yang tiada tandingannya, malam lailatulqadar...Perbanyakkan amalan sunat di malam-malam terakhir ini kerana kita tidak tahu apakah masih ada Ramadhan untuk kita lagi tahun hadapan...

Andai kata ini Ramadhan terakhir buat kita, diharapkan ia dapat membela nasib kita apabila kita dibangkitkan di hadapan Yang Maha Kuasa di akhirat nanti...Insya Allah...

Wassalam...

Monday, June 9, 2014

Bersyukurlah Dengan Nikmat Pemberian-NYA...

Assalammua'laikum warahmatullahi taala wabarakatuh...

Dalam kehidupan seharian, begitu banyak nikmat yang Allah S.W.T. telah kurniakan kepada setiap makhluk-Nya, terutama sekali kepada kita yang telah dilantik menjadi khalifah di muka bumi ini...Setiap helaan dan hembusan nafas, kurniaan pancaindera yang baik, kasih sayang, kesihatan, semua itu merupakan kurniaan Illahi yang tiada tandingan dan tidak mungkin akan dapat kita balas walau bagaimanapun usaha kita untuk membalasnya...Begitulah pemurahnya Yang Maha Esa kepada setiap hamba-Nya...

Akan tetapi, berapa banyak antara kita yang tahu untuk mengucapkan syukur atas segala nikmat tersebut...?Berapa ramai yang mengucapkan syukur saat dihidupkan semula dari tidur lena setiap pagi...?Serta berapa banyak yang bersyukur masih boleh bernafas di bumi bertuah ini...?

Hakikatnya, lebih banyak yang bongkak dan sombong dengan tidak pernah mensyukuri nikmat ini...Banyak yang masih merungut kononnya hidup mereka susah dan tidak mewah seperti insan lain...Bagi sebahagian manusia, kekayaan merupakan nikmat yang sebenar hingga ada yang mengejar dunia hingga lupa akan tanggungjawab kepada-Nya...

Seharusnya kita melihat mereka yang lebih susah daripada kita, dan bukannya melihat pada yang berharta atau yang lebih tinggi kedudukannya daripada kita...Andainya kita melihat kedaifan hidup insan lain dan kekurangan yang mereka hadapi, insya Allah kita akan tahu betapa bertuahnya kita jika hendak dibandingkan dengan insan lain...

Hargailah setiap apa yang kita ada...Dan andainya kita memiliki kelebihan jika hendak dibandingkan dengan orang lain, gunakanlah ianya dengan bijak untuk mencari redha-Nya...Jangan sesekali kita bongkak kerana ingatlah bahawa semua itu hanya pinjaman dan Allah S.W.T. boleh mengambil setiap kurnia-Nya pada bila-bila masa sahaja yang diingini-Nya...

Wassalam...

Saturday, June 7, 2014

Bukan Salah Ibu Mengandung...

Assalammua'laikum warahmatulahi taala wabarakatuh...

Baru-baru ini, sekali lagi negara digemparkan dengan kes buli di kalangan pelajar sekolah yang seolah-olah tiada kesudahannya...Kali ini kes buli yang dilaporkan melibatkan pelajar wanita yang lebih senior membelasah junior mereka...Apa puncanya tidak perlulah penulis debatkan kerana bukan itu persoalan utama yang penulis hendak utarakan kali ini...

Apa yang menjadi kemusykilan penulis ialah sampai bila perkara ini akan terus berlaku...Kes buli bukanlah perkara baru, malah hakikatnya sudah terlalu lama berlaku, bukan sahaja di sekolah, malah di peringkat pengajian tinggi pun masih lagi berlaku...

Pelbagai tindakan yang diambil dan dikenakan seolah-olah tidak memberikan sebarang impak yang besar kepada pelaku ataupun orang lain yang mempunyai sikap yang serupa...Sepatutnya hukuman yang dikenakan haruslah sesuai dan dapat memberi pengajaran, bukan sahaja kepada pelaku, malah orang lain jua...

Ini kerana kecederaan akibat kes buli ada kalanya menjadi kecederaan kekal dan tidak mampu disembuhkan selama-lamanya...Itu tidak termasuk trauma sepanjang hayat yang mungkin mereka hadapi akibat insiden tersebut...

Ingatlah, mungkin ada pelaku yang terlepas di dunia, tetapi tidak mungkin mereka akan terlepas hukuman daripada Yang Maha Esa...Dan kekuatan yang ada pada kita hanyalah sementara, bila-bila masa boleh diambil kembali oleh-Nya...Jangan disalahgunakan untuk menganiaya dan mencederakan orang lain...

Wassalam...

Tuesday, November 12, 2013

Bila Diri Disayangi...

Assalammua'laikum warahmatullahi taala wabarakatuh...

Lama dah tak update blog "Travelog Seorang Hamba" ni...Rindu pula rasa nak menulis di sini...Baiklah, kali ini admin nak bercerita mengenai lirik lagu yang amat admin minati pula...Seterusnya admin mengambil sedikit petikan lirik lagu tersebut untuk diulas dalam edisi kali ini...

"Bila ku sedari diri disayangi Langkah kaki ini semakin berani Bila terkeliru kuucap nama-Mu Terasa diriku kembali dipandu..."

Rasanya ramai yang tahu lirik lagu di atas, dan bagi yang tak tahu, lirik tersebut dipetik dari salah satu lagu popular kumpulan Ukay's yang berjudul "Bila Diri Disayangi"...Lagu ini merupakan salah satu lagu kegemaran admin kerana liriknya yang mempunyai maksud yang mendalam dan antara lagu keTuhanan yang popular di era 90-an...

Lagu ini sebenarnya mengisahkan mengenai sifat manusia yang hidup mereka amat memerlukan Sang Pencipta...Setiap apa yang dilakukan, setiap apa yang ingin dilaksanakan, jangan sesekali membelakangkan Yang Maha Esa...Doa dan tawakal merupakan kunci untuk mendapat keredhaan-Nya...

Andainya hidup terasa sukar, hidup terasa kosong dan tiada yang mengambil peduli, ingatlah bahawa Allah tidak pernah melupakan hamba-Nya walaupun kita selalu alpa akan tanggungjawab kita sebagai hamba kepada-Nya...

Sentiasa ingat, setiap ujian Allah merupakan bukti betapa Allah menyayangi hamba-Nya...Tidak ada ujian atau dugaan yang Allah berikan melainkan untuk melihat sehebat mana kehebatan iman kita kepada-Nya...Jangan sesekali mengeluh dan merasakan diri kita jauh dari-Nya andai ujian berat yang menimpa...Cari jalan yang terbaik,pilih yang terbaik,dan kemudian bertawakal kepada-Nya...

Insya Allah, akan ada jalan keluar untuk setiap permasalahan...Akan ada penawar bagi setiap penyakit...Yang penting kita berusaha dan jangan pernah mengalah...Itu adalah kunci kejayaan dalam kehidupan di dunia, juga kehidupan di akhirat kelak...

Wassalammualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh...