Monday, June 9, 2014

Bersyukurlah Dengan Nikmat Pemberian-NYA...

Assalammua'laikum warahmatullahi taala wabarakatuh...

Dalam kehidupan seharian, begitu banyak nikmat yang Allah S.W.T. telah kurniakan kepada setiap makhluk-Nya, terutama sekali kepada kita yang telah dilantik menjadi khalifah di muka bumi ini...Setiap helaan dan hembusan nafas, kurniaan pancaindera yang baik, kasih sayang, kesihatan, semua itu merupakan kurniaan Illahi yang tiada tandingan dan tidak mungkin akan dapat kita balas walau bagaimanapun usaha kita untuk membalasnya...Begitulah pemurahnya Yang Maha Esa kepada setiap hamba-Nya...

Akan tetapi, berapa banyak antara kita yang tahu untuk mengucapkan syukur atas segala nikmat tersebut...?Berapa ramai yang mengucapkan syukur saat dihidupkan semula dari tidur lena setiap pagi...?Serta berapa banyak yang bersyukur masih boleh bernafas di bumi bertuah ini...?

Hakikatnya, lebih banyak yang bongkak dan sombong dengan tidak pernah mensyukuri nikmat ini...Banyak yang masih merungut kononnya hidup mereka susah dan tidak mewah seperti insan lain...Bagi sebahagian manusia, kekayaan merupakan nikmat yang sebenar hingga ada yang mengejar dunia hingga lupa akan tanggungjawab kepada-Nya...

Seharusnya kita melihat mereka yang lebih susah daripada kita, dan bukannya melihat pada yang berharta atau yang lebih tinggi kedudukannya daripada kita...Andainya kita melihat kedaifan hidup insan lain dan kekurangan yang mereka hadapi, insya Allah kita akan tahu betapa bertuahnya kita jika hendak dibandingkan dengan insan lain...

Hargailah setiap apa yang kita ada...Dan andainya kita memiliki kelebihan jika hendak dibandingkan dengan orang lain, gunakanlah ianya dengan bijak untuk mencari redha-Nya...Jangan sesekali kita bongkak kerana ingatlah bahawa semua itu hanya pinjaman dan Allah S.W.T. boleh mengambil setiap kurnia-Nya pada bila-bila masa sahaja yang diingini-Nya...

Wassalam...

Saturday, June 7, 2014

Bukan Salah Ibu Mengandung...

Assalammua'laikum warahmatulahi taala wabarakatuh...

Baru-baru ini, sekali lagi negara digemparkan dengan kes buli di kalangan pelajar sekolah yang seolah-olah tiada kesudahannya...Kali ini kes buli yang dilaporkan melibatkan pelajar wanita yang lebih senior membelasah junior mereka...Apa puncanya tidak perlulah penulis debatkan kerana bukan itu persoalan utama yang penulis hendak utarakan kali ini...

Apa yang menjadi kemusykilan penulis ialah sampai bila perkara ini akan terus berlaku...Kes buli bukanlah perkara baru, malah hakikatnya sudah terlalu lama berlaku, bukan sahaja di sekolah, malah di peringkat pengajian tinggi pun masih lagi berlaku...

Pelbagai tindakan yang diambil dan dikenakan seolah-olah tidak memberikan sebarang impak yang besar kepada pelaku ataupun orang lain yang mempunyai sikap yang serupa...Sepatutnya hukuman yang dikenakan haruslah sesuai dan dapat memberi pengajaran, bukan sahaja kepada pelaku, malah orang lain jua...

Ini kerana kecederaan akibat kes buli ada kalanya menjadi kecederaan kekal dan tidak mampu disembuhkan selama-lamanya...Itu tidak termasuk trauma sepanjang hayat yang mungkin mereka hadapi akibat insiden tersebut...

Ingatlah, mungkin ada pelaku yang terlepas di dunia, tetapi tidak mungkin mereka akan terlepas hukuman daripada Yang Maha Esa...Dan kekuatan yang ada pada kita hanyalah sementara, bila-bila masa boleh diambil kembali oleh-Nya...Jangan disalahgunakan untuk menganiaya dan mencederakan orang lain...

Wassalam...